BANGKOK – Seorang pegawai kanan polis ditembak mati ketika dia pulang dari solat di sebuah masjid di wilayah Pattani, selatan Thailand semalam, lapor portal berita Thaiger.
Pegawai tersebut yang dikenali sebagai Leftenan (Polis) Muhammad Azan Jamae, 58, diserang hendap di luar rumahnya di Ban Kalupe, daerah Sai Buri, sejurus selepas meninggalkan masjid.
Menurut saksi, beberapa penyerang yang menunggang dua motosikal melepaskan tembakan ke arah mangsa.
Dia rebah di tempat kejadian dan cedera parah.
Jiran dan rakannya menghantar Muhammad ke Hospital Yupracha Sai Buri, manakala mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Polis telah melancarkan siasatan, mengumpul bukti dari tempat kejadian dan menemu bual saksi.
Lelaki-lelaki bersenjata tersebut melarikan diri sejurus selepas serangan itu tanpa meninggalkan sebarang petunjuk mengenai identiti atau motif mereka. – AGENSI