BANGKOK – Seorang lelaki yang marah selepas tayar keretanya ‘dikepit’ di zon larangan parkir bertindak menghunus parang ke arah anggota polis, lapor portal berita Thaiger semalam.
Dalam rakaman video kejadian di Bangkok tersebut, suspek mengambil parang dari but kereta dan mengugut anggota polis.
Lelaki berumur 59 tahun dikenali sebagai Chayakrit meletakkan keretanya di zon tersebut kerana mahu mengambil saudara kandungnya dari Hospital Ramathibodi.
Menurut saksi, Chayakrit pada mulanya cuba membayar denda di tempat kejadian tetapi bayarannya tidak diterima, menyebabkan dia berang.
Dia kemudian mengambil parang dan mengugut polis, malah cuba mengejar mereka.
Pasukan peronda polis tidak lama kemudian tiba dan berjaya meredakan keadaan.
Chayakrit bersetuju meletakkan senjata dan ditahan, manakala pemeriksaan selanjutnya menemui seorang anaknya duduk di dalam kereta.
Lelaki itu didenda 900 baht (RM118) kerana meletak kenderaan secara haram, membawa senjata dan menyebabkan gangguan. Dia dibebaskan selepas mengaku bersalah. – AGENSI