AWAL Januari lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan spekulasi mengenai pelakon Emma Maembong yang didakwa sudah bernikah dengan deejay yang dikenali sebagai DJ Kidd.
Usaha pihak media mendapatkan respons tuan punya badan juga gagal apabila pelakon Kimchi Untuk Awak! itu enggan menjawab mesej mahupun panggilan telefon.
Orang terdekat yang mesra media, pastilah pelakon Chacha Maembong menjadi sasaran untuk merungkai persoalan berkenaan status kakaknya yang dikatakan sudah mendirikan rumah tangga selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar.
Tetap tiada jawapan, Chacha bagaimanapun mengakui terkejut mendengar khabar angin tersebut, namun enggan mengulas. Dia mendakwa tidak mengetahui kesahihan khabar berkenaan.
Ketika Emma membiarkan statusnya menjadi teka-teki, lelaki yang dimaksudkan pula sebaliknya. DJ Kidd pula seolah-olah mahu menunjukkan kepada dunia bahawa ibu anak dua itu miliknya apabila dengan selamba mengungkap, pemilik nama lengkap Fatimah Rohani Ismail kini berada dalam hatinya.
Terang-terangan
Malah, dia juga memuat naik foto dalam Instagram bersama Emma dan rakan baik mereka sambil menyatakan rasa sayangnya terhadap ketiga-tiga individu terbabit.
Tidak terhenti di situ, DJ Kidd turut memuat naik video mendukung seorang kanak-kanak lelaki yang dipercayai anak bongsu Emma, Shakil Aryan Shah.
Spekulasi pasangan berkenaan sudah bergelar suami isteri juga diperkuatkan dengan gambar percutian bersama di pulau peranginan terkenal di Indonesia seperti yang tular dalam media sosial.
Pada awal minggu ini, DJ Kidd tampil membuat hantaran berani apabila memuat naik beberapa video dan gambar bersama Emma sambil menggelar wanita itu dengan panggilan isteri.
Dalam video tersebut juga mereka memaparkan kemesraan seakan-akan pasangan suami isteri apabila Emma dilihat memeluk dan mencium pipi DJ Kidd.
Lelaki terbabit berjanji untuk menjadi pasangan hidup terbaik buat aktres itu dan menyifatkan Emma sebagai bidadari yang hadir dalam hidupnya.
“Saya akan jadi suami terbaik untuk awak. Saya cintakan awak,” katanya dalam InstaStory.
Diam
Selepas segala kekecohan, Emma kekal mengunci mulut dari memberikan sebarang kenyataan. Dia juga tidak aktif dalam media sosial beberapa hari selepas DJ Kidd mendedahkan video kemesraan mereka.
Peminat kini sudah mula memenuhi ruangan Instagramnya dengan ucapan selamat pengantin baharu buatnya.
Jika betul Emma sudah mendirikan rumah tangga, apa alasannya untuk merahsiakan perkahwinan tersebut, bukankah pernikahan wajar dihebahkan untuk menghindar fitnah.