fbpx

EPL: Rashford sudah putus masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RASHFORD mula yakin bahawa Villa mampu mengembalikan kualiti dan kegemilangannya sebagai pemain bola sepak. - AFP

LONDON – Bintang Manchester United, Marcus Rashford dilapor telah membuat keputusan nekad untuk meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Pada Disember lalu, pemain berusia 27 tahun itu mendedahkan bahawa bersedia untuk mencari cabaran baharu selepas melalui tempoh sukar di United apabila hanya meledak 11 gol dalam 48 aksi untuk tempoh 18 bulan.

Kehadiran Ruben Amorim sebagai pengendali baharu United juga menambah kesukaran buat Rashford apabila dia tidak menjadi pilihan dan disisihkan untuk tempoh yang agak panjang menyebabkan dia membuat keputusan menyertai Aston Villa pada Januari lalu dengan status pemain pinjaman.

Selepas mengharungi beberapa perlawanan bersama Villa, Rashford tidak mengambil masa yang lama untuk membuktikan kualitinya apabila mengumpul tiga umpanan gol dalam lima aksi bersama pasukan itu.

Prestasi yang dipamerkan di bawah bimbingan Unai Emery menyebabkan Rashford percaya bahawa dia perlu kekal bersama pasukan itu bukan sekadar sehingga penghujung musim ini, sebaliknya untuk tempoh yang lebih lama.

Laporan menyebut bahawa Rashford telah memberitahu rakan rapatnya tentang keinginan untuk berhijrah secara tetap ke Villa Park dan percaya pasukan itu mampu membantunya kembali dipilih bersama skuad England.

Rashford ketika ini memiliki kontrak bersama United sehingga 2028, namun Villa ditawarkan peluang untuk mendapatkan khidmatnya secara tetap pada harga £40 juta (RM224.57 juta) ketika Amorim tidak bersedia menerima kepulangannya selagi beliau mengemudi pasukan itu.

Villa juga mungkin tidak berdepan masalah untuk melunaskan tuntutan nilai perpindahan berkenaan, namun apa yang menjadi kebimbangan adalah mengenai kesediaan mereka menawarkan gaji £350,000 seminggu (RM1.96 juta) seperti yang diterimanya di Old Trafford. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI