PETALING JAYA – Penyedia penyelesaian automotif terkemuka, EP Manufacturing Berhad (EPMB) merekodkan untung bersih RM18.96 juta bagi tahun kewangan 2024, turun 6.9 peratus berbanding RM20.36 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan pula berjumlah RM594.71 juta, susut sembilan peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan bayaran balik perkakas yang lebih rendah daripada pelanggan bagi pembangunan model dan produk baharu.
Bayaran balik perkakas merupakan pendapatan bukan berulang, yang mewakili sebahagian kos pelanggan untuk reka bentuk dan pembuatan komponen baharu mengikut spesifikasi mereka.
Bagi suku keempat 2024, keuntungan bersih EPMB meningkat lebih tiga kali ganda tahun ke tahun kepada RM9.6 juta, didorong oleh peruntukan cukai yang lebih rendah serta pendapatan cukai tertunda sepanjang suku tersebut.
Pendapatan suku keempat berjumlah RM145.34 juta, turun 28 peratus tahun ke tahun, disebabkan terutamanya oleh bayaran balik perkakas yang lebih rendah serta penurunan dalam jumlah jualan komponen dan alat ganti automotif.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, prestasi kewangan dan operasi mencerminkan daya tahan serta kedudukan strategik EPMB dalam menghadapi landskap automotif yang semakin berkembang dan persaingan sengit daripada pemain baharu di pasaran.
“Bagi tahun kewangan 2025, kami akan terus meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dan menjangkakan sumbangan penuh sepanjang tahun daripada perniagaan pemasangan kenderaan kami, khususnya menerusi kerjasama dengan GWM dan BAIC.
“Kami juga sedang mempersiapkan diri untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan yang besar dalam pasaran eksport automotif ASEAN,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE