MUNGKIN masih terlalu awal, namun tidak keterlaluan mengatakan bahawa Malaysia sudah memiliki bintang baharu dalam sukan berbasikal trek yang mampu setanding dengan jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Nama Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri mula meniti di bibir peminat-peminat sukan tanah air, khususnya dalam berbasikal trek apabila dia berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tahun lalu.
Anak jati Sungai Petani, Kedah itu terus menyinar apabila menampilkan aksi cukup luar biasa ketika merangkul dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.
Meskipun mengulangi pencapaian sama seperti ACC 2024 di New Delhi, India tahun lalu, namun kejayaan kali ini lebih bermakna kerana perlu bersemuka dengan pelumba-pelumba ternama selain berjaya menewaskan juara dunia dari Jepun, Mina Sato dalam acara keirin.
Justeru, Izzah dianggap berada pada landasan terbaik untuk ‘meletup’ pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) seperti diramalkan pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley.
Pelumba berusia 22 tahun itu mengakui, dia sudah belajar banyak perkara hasil daripada pengalaman yang diraih sejak menjejakkan kaki ke pentas Olimpik dan bersemuka dengan jaguh-jaguh handalan dunia.
“Berhubung keyakinan, Alhamdulillah memang sudah meningkat naik sejak Sukan Olimpik kerana belajar banyak perkara dan untuk menterjemahkannya. Saya juga tidak kisah dengan progres orang lain dan hanya fokus pada diri sendiri.
“Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan orang lain memang agak ketinggalan sedikit tetapi saya percaya kepada proses dan akan cuba untuk meningkatkan kemampuan diri,” kata pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman itu.
Pada saingan ACC 2025 yang menutup gelanggang kelmarin, Izzah memenangi dua pingat emas menerusi acara keirin dan 1 kilometer (km) ujian masa wanita serta gangsa pecut individu selain membantu Malaysia memenangi perak pecut berpasukan.
Lebih manis, dia juga memecahkan rekod Asia 1km ujian masa sebanyak dua kali dengan catatan 1:06.229 saat (s) selain memperbaharui rekod kebangsaan (48.458s) pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.
Selepas ini, Izzah bersama rakan sepasukan akan berehat seketika sebelum kembali melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Piala Negara-Negara yang berlangsung di Konya, Turkiye bulan depan.