KOTA TINGGI – Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkukuh perpaduan dan integrasi ekonomi ASEAN menerusi tema Inklusiviti dan Kelestarian bagi tahun 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia mengalu-alukan sokongan berterusan daripada negara ASEAN dalam memastikan pembangunan yang berpusatkan rakyat sepanjang tahun ini.
“Malaysia mengalu-alukan sokongan berterusan daripada negara-negara ASEAN dalam memperkukuh perpaduan, menggalakkan integrasi ekonomi dan memastikan pembangunan yang berpusatkan rakyat sepanjang 2025.
“Meskipun berdepan cabaran ekonomi global, ASEAN terus menunjukkan daya tahan kukuh apabila jumlah dagangan keseluruhan pada 2023 mencecah USD 3.5 trilion (RM15.464 trilion) dengan lebihan dagangan sebanyak USD 96.7 bilion (RM431.5 bilion).
“Selain itu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini meningkat daripada USD 129.9 bilion (RM580 bilion) pada 2014 kepada USD 229.8 bilion (RM1,026 bilion) pada 2023.
“Unjuran pertumbuhan ekonomi ASEAN bagi 2024 dijangka mencapai 4.6 peratus dan meningkat kepada 4.7 peratus pada tahun ini,” katanya dalam ucapan pembukaan sesi tertutup Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31, di Desaru, di sini hari ini.
Tengku Zafrul mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 di Desaru yang dihadiri lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste. – KOSMO! ONLINE