MADRID – Pemain sayap lincah Real Betis, Antony bakal menjadi sandaran pasukan dalam misi mencuri mata berharga pada perlawanan getir menentang Real Madrid di Stadium Benito Villamarin, Ahad ini.
Sebagai rekod, skuad Los Mejores menarik nafas lega apabila pemain antarabangsa Brazil itu diberikan lampu hijau untuk beraksi menentang Real selepas hukuman kad merah yang dilayangkan pada minggu lalu dibatalkan.
Keputusan itu dibuat oleh Persatuan Bola Sepak DiRaja Sepanyol (RFEF) selepas menerima rayuan Betis yang mendakwa pengadil membuat kesilapan ketika menghukum pemain pinjaman daripada kelab Manchester United itu.
Pengendali Betis, Manuel Pellegrini bersedia untuk menurunkan Antony pada perlawanan menentang The Galacticos dan berharap pemain berusia 25 tahun itu dapat meneruskan momentum cemerlang sejak berhijrah pada bulan lalu.
“Saya langsung tiada masalah dengan sikap Antony yang memberikan komitmen penuh di atas padang sepanjang mewakili pasukan sejak beberapa perlawanan yang lepas.
“Secara jujur, saya rasa dia tidak bermain dengan baik ketika mewakili United kerana berada dalam keadaan tertekan selepas pasukan itu mengeluarkan dana besar untuk mendapatkan khidmatnya sebelum ini.
“Dia bebas daripada sebarang tekanan dan saya rasa dia terdesak untuk buktikan kualiti sebenar dengan bermain seperti biasa. Antony kini semakin matang dan banyak membantu pasukan di atas padang,” katanya. – AGENSI