KUALA LUMPUR – Siri persahabatan menentang Afrika Selatan ketika ini bukan sekadar medan pemanas badan buat skuad hoki wanita negara, sebaliknya menjadi platform penting untuk barisan kejurulatihan memilih pemain terbaik menganggotai pasukan kebangsaan bagi tahun 2025.
Ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, aksi bertaraf antarabangsa itu amat signifikan kerana ia salah satu kriteria utama dalam proses penilaian di samping memastikan hanya pemain yang benar-benar layak dipilih bagi memperkuatkan pasukan.
“Ini adalah sebahagian daripada proses pemilihan pemain kebangsaan untuk tahun ini. Walaupun selepas pemilihan dilakukan, pintu pasukan kebangsaan tetap terbuka kepada mana-mana pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang di masa hadapan,” katanya.
Nasihin turut mengakui bahawa langkah itu diambil bagi memastikan saingan dalam pasukan kebangsaan kekal kompetitif serta mengelakkan pemain sedia ada berada dalam zon selesa.
Menurutnya, beberapa pemain baharu telah dikenal pasti hasil pemerhatian sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang baru sahaja melabuhkan tirai baru-baru ini.
“Persaingan di MHL sangat baik, bukan sahaja melibatkan pasukan utama tetapi juga pasukan tidak layak ke separuh akhir.
“Semua pasukan memberikan aksi berkualiti, sekali gus memberi peluang lebih luas kepada barisan kejurulatihan kebangsaan untuk menilai potensi pemain dalam kelompok yang lebih besar,” tambahnya.
Beliau turut memuji penganjuran MHL kali ini, khususnya penyertaan wakil Australia, Territory Stingers, yang menurutnya memberi ruang buat pemain tempatan merasai sendiri cabaran menentang pasukan luar negara.
“Apabila berdepan pasukan luar seperti Australia, kami (jurulatih kebangsaan) dapat melihat dengan lebih jelas tahap sebenar pemain tempatan. Ia penting untuk menilai sejauh mana mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Empat siri persahabatan menentang Afrika Selatan bermula hari ini menjadi pentas terbaik buat Malaysian Tigress mengukur kemampuan sebenar barisan pemain menjelang kalendar antarabangsa yang lebih mencabar tahun ini. – KOSMO! ONLINE