PETALING JAYA – TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dalam tahun kewangan 2024 (TK2024) dengan merekodkan Untung Sebelum Cukai (USC) RM160.42 juta, angka tertingginya dalam tempoh 10 tahun.
Pendapatan dicatat sebanyak RM877.73 juta, iaitu rekod kedua tertinggi dalam dekad ini, disokong oleh peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK), serta harga purata jualan produk minyak sawit yang lebih kukuh.
Margin USC Kumpulan bagi TK2024 meningkat sebanyak 60 peratus, sementara Pendapatan Sesaham (EPS) meningkat dua kali ganda kepada 6.47 sen daripada 3.29 sen.
Dalam suku keempat TK2024, THP mencatatkan pendapatan sebanyak RM270.4 juta, peningkatan sebanyak 24.9 peratus daripada RM216.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi kukuh dalam suku keempat disebabkan oleh harga jualan yang lebih tinggi bagi CPO, PK dan tandan buah segar (FFB).
Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, keputusan TK2024 mencerminkan kejayaan tahun pertama pelaksanaan Al-Falah 22/22, iaitu Pelan Strategik Perniagaan Lima Tahun THP (2024 – 2028).
“Pencapaian ini mengukuhkan hala tuju pertumbuhan jangka panjang THP, didorong oleh penambahbaikan operasi yang berterusan serta pengurusan kos yang berdisiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi THP, Datuk Ahmad Kushairi Din berkata, mengiktiraf pencapaian ini, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen keseluruhan sebanyak 3 sen sesaham, iaitu peningkatan 50 peratus berbanding tahun sebelumnya, seterusnya mengukuhkan komitmen Kumpulan dalam memberikan nilai kepada pemegang saham.
“Keputusan kewangan cemerlang THP bagi TK2024 mencerminkan keberkesanan operasi kami, yang selari dengan pelan strategik perniagaan THP,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE