KUCHING – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak menggempur tiga sindiket penyeludupan di negeri ini, menerusi tiga serbuan berasingan dalam Op Taring Bravo yang membawa kepada rampasan berjumlah RM2.6 juta.
Komander PGA Briged Sarawak, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, serbuan pertama membabitkan sebuah premis di Daerah Bau kelmarin, disyaki tempat transit barang kawalan berjadual dan produk makanan sejuk beku sebelum di seludup masuk ke sempadan Malaysia-Indonesia.
“Pasukan serbuan dari Cawangan Risik Batalion 11 PGA, Batu Kawa juga berjaya menahan sembilan lelaki dan wanita tempatan berumur dalam lingkungan 30 hingga 62 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai jenis barang kawalan berjadual serta produk makanan sejuk beku yang disimpan di bahagian belakang tujuh tujuh buah lori yang berada di premis tersebut, dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.2 juta (mengikut harga pasaran),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Che Ghazali berkata serbuan kedua dilakukan kira-kira pukul 11.15 pagi semalam ke atas sebuah premis di Daerah Serian yang disyaki dijadikan sebagai tempat penyimpanan produk makanan sejuk beku.
“Pasukan serbuan telah menahan tiga lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 27 hingga 59 tahun serta merampas sebanyak 8,869.65 kilogram pelbagai jenis produk makanan sejuk beku yang disimpan di dalam sebuah kontena,” katanya.
Sementara, Che Ghazali berkata tangkapan seterusnya dilakukan oleh pasukan dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA, Sibu pada pukul 2.45 petang semalam, menerusi serbuan ke atas sebuah premis disyaki tempat penyelewengan diesel bersubsidi.
“Pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 14,450 liter minyak diesel yang disimpan di premis tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE