KINSHASA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus melakukan siasatan berhubung sejenis penyakit misteri yang semakin merebak di Republik Demokratik Congo (DRC) sehingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa, lapor portal Mail Online semalam.
Laporan baharu mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 1,096 pesakit direkodkan di barat DRC, meningkat dua kali ganda pada minggu sebelumnya, manakala kematian pula bertambah daripada 53 kepada 60 orang.
Kebanyakan pesakit meninggal dunia dalam tempoh cuma 48 jam selepas mereka mengalami simptom penyakit misteri tersebut.
“Punca sebenar masih belum diketahui, tetapi separuh daripada jumlah pesakit disahkan positif malaria.
Pihak berkuasa turut melakukan analisis terhadap makanan dan punca air tempatan untuk mengenal pasti penyakit tersebut.
Pesakit mengalami simptom seperti demam panas, muntah, cirit-birit, sakit sendi badan dan dahaga yang teruk, manakala kanak-kanak menangis tanpa henti akibat pendarahan hidung dan muntah darah.
Seorang bekas doktor White House memberi amaran bahawa pentabiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengurangkan pembiayaan, menyebabkan banyak wilayah bergelut untuk mendapatkan rawatan bagi menghadapi wabak itu.
“Kami telah menghantar pakar dan bekalan perubatan termasuk kit ujian ke DRC,” kata WHO.
Pegawai tempatan menyifatkan wabak itu ‘sangat membimbangkan’, manakala pakar-pakar di seluruh dunia menganggap penyakit tersebut berbahaya dan menyebabkan paling banyak kematian dalam tempoh 48 jam. – AGENSI