fbpx

‘Patutnya jantan culas bayar nafkah anak tak dibenarkan kahwin lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RITA RUDAINI tetap tidak boleh berdiam apabila ada isu berkaitan nafkah dan ibu tunggal.

PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini menyarankan golongan lelaki yang culas menunaikan tanggungjawab membayar nafkah anak selepas bercerai sepatutnya tidak dibenarkan berkahwin lain.

Menurut Rita atau nama penuhnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 48, sikap culas membayar nafkah disifatkan seperti menganiaya kaum wanita.

“Isu ini sudah lama dan berapa ramai yang tanggung perkara begini.

“Benda wajib ikut arahan mahkamah tapi jantan-jantan ini culas, patut golongan sebegini tak boleh kahwin lain kalau tanggungjawab lama tidak ditunaikan,” katanya dalam Instagram Story.

Katanya, tunggakan nafkah disamakan seperti berhutang dan selagi tidak dilunaskan, nama akan disenaraihitam.

“Macam orang berhutanglah. Kalau masih belum lunas, akan diaenarai hitam daripada memohon mana-mana pinjaman atau biasiswa.

“Tapi itulah, mereka ini dibiarkan dan lakukan kesilapan berulang kali, yang jadi mangsa adalah wanita!

“Saya rasa perlu buat kerjasama dengan Bahagian Pembangunan Wanita untuk melindungi hak wanita daripada jantan-jantan dayus begini,” ujarnya.

TANGKAP layar luahan pandangan Rita dalam Instagram.

Dalam pada itu, Rita juga bersetuju dengan kenyataan segelintir lelaki tidak memberi nafkah kepada anak kerana bimbang digunakan oleh bekas isteri.

Ujarnya, pemikiran sebegitu tidak sepatutnya wujud jika dibandingkan dengan pengorbanan seorang ibu mengandung dan melahirkan anak.

“Memang begitu pun (tanggapan bekas isteri guna duit nafkah anak).

“Takut sangat bekas isteri makan duit sekangkang kera yang mereka beri walaupun ada bulan-bulan culas bayar.

“Kalau seorang wanita boleh tahan bawa perut besar selama sembilan bulan, apalah sangat (bayar nafkah).

“Teringat kes ‘roti Gardenia’ dalam resit bil anak-anak ketika tuntut di mahkamah dan dipertikaikan. Kononnya roti itu mak yang makan, jadi dia tak mahu bayar dan mahu buang dari resit. Kekejian apakah?” katanya lagi.

Rita berkata demikian bagi mengulas laporan berita tentang hukuman diterima 10 individu yang culas membuat bayaran nafkah anak dan dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan oleh Mahkamah Syariah Terengganu.

Sebelum ini, Rita antara selebriti yang lantang bersuara mengenai isu pembayaran nafkah, termasuk apa yang berlaku kepadanya selama membesarkan dua orang anak lelak selepas bercerai dengan pemain bola sepak popular, Aidil Zafuan. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI