KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan rakyat mesti meninggalkan sikap suka memfitnah, menabur kebencian dan menyebarkan berita yang tidak benar.
Baginda bertitah sikap seperti ini perlu dielak kerana hanya akan melemahkan perpaduan dan menghakis nilai moral dalam masyarakat.
“Dalam suasana dunia yang semakin mencabar saya menasihatkan supaya kita tidak membesar-besarkan sesuatu isu sehingga boleh menggugat keharmonian.
“Sikap berlapang dada, bertolak ansur dan menyelesaikan masalah secara hikmah adalah lebih baik daripada menimbulkan kekacauan yang merugikan semua pihak.
“Ingatlah bahawa kedamian lebih bernilai daripada pertelingkahan,”titah baginda pada Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini malam semalam yang turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam masa sama, baginda mengingatkan semua pihak perlu sentiasa bersangka baik dan janganlah terlalu cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara dengan sikap negatif sebaliknya memberi ruang memahami dan mencari penyelesaian secara bijaksana.
Katanya, kerajaan harus menyantuni dan prihatin terhadap rakyat yang mana kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang mendengar denyut nadi suara rakyat, memahami keperluan mereka dan bertindak dengan penuh kasih sayang serta tanggungjawab.
“Pada masa sama pembangkang juga perlu memainkan peranan membina dan kritikan yang diberikan hendaklah dalam bentuk cadangan yang baik dan bukan semata-mata untuk menimbulkan perpecahan,” titah baginda.
Sementara itu Seri Paduka bertitah, kedaulatan raja dalam sistem pemerintahan Melayu bukan sekadar simbol, tetapi menjadi teras kepada keadilan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Titah baginda sejarah telah membuktikan bahawa Kesultanan Melayu adalah tunjang kepada kestabilan dan kemakmuran tanah air sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga ke hari ini yang raja dan rakyat saling melengkapi berpaksikan kepada agama, adat dan nilai-nilai luhur bangsa.
“Dalam sejarah Melayu kesetiaan kepada raja dianggap sebagai asas utama dalam membentuk kerajaan yang berdaulat, diceritakan bagaimana institusi raja dipandang tinggi dan dihormati sebagai payung negara yang bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyat.
“Kesultanan Pahang sendiri mempunyai sejarah yang panjang dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negeri dari zaman Kesultanan Pahang yang pertama hingga ke hari ini raja-raja berperanan besar dalam mengekalkan identiti Islam dan budaya Melayu dalam sistem pemerintahan di bumi bertuah ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE