KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyeru golongan selebriti menggunakan pengaruh mereka dengan memberikan teladan yang baik kepada masyarakat.
Mohd. Naim berkata, mereka yang mempunyai pengikut yang ramai dalam media sosial perlu cakna akan tanggungjawab masing-masing kepada orang sekeliling.
“Nasihat saya kepada selebriti atau mereka yang ada ramai pengikut, tunjukkan teladan yang baik supaya dapat membina masyarakat harmoni di negara kita yang tercinta.
“Kita ada tanggungjawab membawa masyarakat membina akhlak dan budi pekerti. Itu pembinaan masyarakat Madani yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Jadi, kena bermula dari situ,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran program Ramadan dan Syawal 2025 TV AlHijrah, semalam.
Semalam, Mohd. Naim mengesahkan pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.
Katanya, pengakuan bersalah itu telah direkodkan mahkamah dan tiada sebarang paksaan serta semua jelas sementelah dilakukan secara sukarela.
Menurutnya, sekiranya Ruhainies mahupun Aliff tidak akur dengan keputusan mahkamah, mereka boleh berdepan kemungkinan dipenjara tiga bulan.
Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana berkhalwat.
20 Jun 2024, Aliff dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang selebriti berstatus suami orang dan pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Sumber dilaporkan berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hasil maklumat awam. Pasangan itu dicekup di kediaman pelakon wanita terbabit. – KOSMO! ONLINE