KUALA KANGSAR – Perbuatan tidak amanah pemandu lori di Talang di sini yang menjual diesel kenderaan milik majikan kepada pihak sindiket dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan operasi yang dilaksanakan pada pukul 1 tengah hari itu adalah daripada risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Perak selama satu minggu di sekitar Kuala Kangsar.
“Modus operandi sindiket ini adalah pemandu yang tidak amanah itu akan menjual minyak diesel lori syarikat tempat mereka bekerja dengan harga RM2 seliter kepada pihak bengkel.
“Ia dilakukan dengan menyedutnya dari tangki asal lori mereka mengunakan pam dan hos masuk ke dalam tong jerry can di bengkel. Pihak bengkel kemudian menjual minyak kepada lori-lori pengangkutan lain dengan harga RM2.70 seliter,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, pasukan serbuan telah menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki pemilik bengkel berumur 62 tahun dan pemandu lori berumur 49 tahun untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran 286 liter cecair disyaki minyak diesel.
“Tiada sebarang permit atau lesen barang kawalan dijumpai di tempat kejadian. Sehubungan itu, cecair yang disyaki minyak diesel, kenderaan lori dan 27 unit tong telah disita untuk tindakan lanjut.
“Nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM95,909.48. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.
Mana-mana orang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – KOSMO! ONLINE