PETALING JAYA – Penyanyi, Azam Smile dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan meniarap di atas katil rumahnya di Shah Alam, Selangor petang semalam.
Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Vina, jasad pemilik nama lengkap Mohamad Azam Zainal Abidin, 38, ditemui dalam keadaan sejuk selain hidung dan tangan sudah biru.
“Dia ditemui sudah tidak bernyawa dalam keadaan meniarap di atas katil di rumahnya. Hidung dan tangannya sudah biru dan berada dalam keadaan sejuk.
“Terdapat bantal di dada dan di depannya ada komputer riba,” katanya.
Vina memaklumkan, arwah tidak pernah ada sejarah sakit sebelum ini dan punca kematiannya disebabkan pembuluh darah pecah akibat tekanan kerja.
“Dia tak pernah ada sakit. Awalnya kami sangka kematiannya akibat serangan jantung.
“Namun selepas proses bedah siasat di Hospital Klang, doktor kata pembuluh darah pecah dan stres kerana kurang tidur.
“Dia memang banyak kerja sebab dia jadi pencipta kandungan dan kerjanya sangat padat,” ujarnya lagi.
Ujar Vina lagi, dia sempat menghubungi arwah sebelum pergi ke rumahnya untuk mengajak makan malam bersama tetapi panggilan tidak berjawab.
“Kali terakhir saya berhubung dengannya ialah sekitar jam 2 petang semalam bagi bertanya sama ada sudah makan tengahari atau belum dan dia sudah pesan makaroni udang.
“Pukul 6.50 petang, saya hubungi dia untuk ambil pergi makan malam tapi tak berjawab. Dia tinggal seorang diri di satu kawasan kediaman di Shah Alam.
“Saya risau dan bergegas ke rumahnya. Setiba di sana saya tekan loceng dan ketuk pintu tak berjawab,” jelasnya.
Disebabkan itu, Vina meminta bantuan rakan-rakan untuk memecah masuk ke dalam rumah sebelum arwah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
“Saya hubungi beberapa rakannya yang tinggal berdekatan antaranya Zam Handy Black untuk minta bantuan.
“Mereka dapati pintu berkunci dari dalam dan mereka umpil pintu hingga hampir nak pecah.
“Saya hubungi ambulans, unit peronda dan petugas kesihatan. Mereka tiba dan kemudian sahkan dia dah tiada,” tuturnya.
Jenazah sudah selamat dikebumikan di kampung halamannya di Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan petang tadi.
Azam cukup terkenal dengan dua singlenya iaitu Sudahlah Sayang dan Atas Cintamu.
Malah, Allahyarham juga difahamkan baru sahaja selesai merakamkan lagu raya berjudul Gedebak Gedebuk Raya bersama syarikat Javs Team. – KOSMO! ONLINE