PETALING JAYA – Hasrat Selangor FC untuk mengukuhkan kedudukan bagi menamatkan musim ini di tangga kedua tidak berhasil apabila diikat 0-0 oleh Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan persaingan untuk merebut status naib juara Liga Super masih lagi terbuka buat kedua-dua pasukan dimana Sabah FC yang berada di tangga ketiga dengan 35 mata hanya dipisahkan lapan mata berbanding Red Giants di tempat kedua.
Bagaimanapun, tuan rumah wajar berterima kasih kepada penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz kerana menyelamatkan sepakan penalti Sabah FC di babak kedua.
Aksi di babak pertama boleh dianggap seimbang dimana Kalamullah dan penjaga gol pelawat, Damien Lim bertindak cemerlang untuk mempertahankan gawang masing-masing daripada bocor.
Minit ke-69, Ali Olwan berjaya melepaskan diri namun Damien Lim lebih pantas untuk menutup ruang manakala pemain Selangor FC yang lain agak lambat untuk hadir memberikan bantuan.
Sabah FC turut dipalit kecewa apabila penyerang kebangsaan, Darren Lok gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-75 selepas sepakannya berjaya dibaca dengan baik oleh Kalamullah.
Seterusnya, kedua-dua pasukan saling melakukan gerakan namun sering dihimpit penyudah tumpul untuk berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan. – KOSMO! ONLINE