KUALA LUMPUR – Cabaran beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman berakhir selepas ditunjukkan jalan keluar di pusingan kedua.
Pada perlawanan yang berlangsung di Westenergie Sporthalle, Mulheim hari ini, pilihan kedua kejohanan itu terpaksa akur tewas 21-17, 11-21, 16-21 kepada beregu China, Gao Jia Xuan-Wu Meng.
Kekalahan itu sekali gus meranapkan harapan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yang mahu menyaksikan mereka meraih gelaran sulung Jelajah Dunia pada kejohanan tersebut.
Meskipun memulakan perlawanan dengan langkah kanan menerusi kemenangan 21-17, namun naib juara China Masters itu gagal mengekalkan aksi konsisten apabila tewas dua set berikutnya.
Turut tersingkir di pusingan kedua adalah gandingan profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas 20-22, 19-21 kepada beregu Amerika Syarikat, Presley Smith-Jennie Gai.
Selepas ini, Pang Ron-Su Yin akan melakukan persiapan bagi menghadapi kejohanan Orleans Masters di Perancis yang dijadualkan bermula 4 hingga 9 Mac depan. – KOSMO! ONLINE