PUTRAJAYA – Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini mempunyai harapan cerah untuk diserap ke dalam program Road To Gold (RTG) sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Walaupun sebelum ini mereka tidak pernah menerima tawaran RTG, pencapaian cemerlang Sze Fei-Izzuddin yang kini menghuni ranking No. 2 dunia membuka ruang besar buat mereka untuk menerima sokongan di bawah program elit tersebut.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah mengadakan pertemuan dengan Sze Fei-Nur Izzuddin terutama menerangkan program RTG boleh menjadi sistem sokongan buat mereka berdua untuk terus cemerlang.
Bagaimanapun, Hannah menjelaskan bahawa penyertaan dalam RTG adalah berdasarkan prestasi semasa dan dengan status mereka sebagai pasangan beregu lelaki No. 1 Malaysia, peluang kini lebih terbuka.

“Sebelum ini saya tidak berpeluang bertemu mereka kerana mereka sentiasa menyertai kejohanan, tetapi sekarang mereka adalah antara beregu terbaik dunia.
“Mereka akan tahu sama ada mereka masuk atau keluar daripada RTG berdasarkan ranking dan pencapaian semasa,” kata Hannah.
Selain itu, Hannah turut memberi bayangan bahawa lebih ramai atlet profesional bakal menerima sokongan RTG menerusi jawatankuasa baharu yang akan diumumkan pada bulan Mac nanti.
Dengan prestasi luar biasa yang dipamerkan, Sze Fei-Izzuddin kini berada di landasan terbaik untuk mendapatkan sokongan RTG, sekali gus meningkatkan persiapan mereka menuju ke Sukan Olimpik LA28. -KOSMO! ONLINE