KUALA KANGSAR – Kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar dijangka akan dilaksanakan selewat-lewatnya enam bulan lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek itu telah diambil alih oleh Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi membina lebuh raya sepanjang 65 kilometer antara Gua Tempurung dan Manong.
“Ketika ini pihak perunding sedang melakukan beberapa penilaian. Tujuan utama untuk mengelakkan terowong Menora (Lebuhraya Utara-Selatan)
“Sekurang-kurangnya lagi tiga atau empat bulan (pembinaan bermula). Mungkin enam bulan termasuk kerja penilaian itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Enggor yang baharu di laluan A156 Jalan Jawang/Karai/Trosor di sini hari ini.
Lebuh raya WISE itu bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar dan seterusnya Kuala Kangsar.- KOSMO! ONLINE