fbpx

DRB-HICOM catat untung pra-cukai RM247 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wisma DRB-HICOM, Shah Alam.

PETALING JAYA – DRB-HICOM Berhad melaporkan keuntungan pra-cukai sebanyak RM247.39 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Prestasi tersebut disokong hasil sebanyak RM16.19 bilion, peningkatan 2.1 peratus daripada RM15.85 bilion yang dilaporkan bagi tahun kewangan sebelumnya.

Bagi suku tahun keempat 2024, Kumpulan melaporkan peningkatan hasil sebanyak 5.2 peratus kepada RM3.97 bilion, berbanding RM3.77 bilion pada suku sama tahun 2023, didorong terutamanya oleh jualan lebih tinggi dalam sektor Automotif, Perbankan dan Hartanah.

Kumpulan bagaimanapun mencatatkan kerugian pra-cukai sebanyak RM35.17 juta pada suku keempat, terutamanya disebabkan oleh pengurangan keuntungan dalam sektor Perbankan, yang terjejas akibat elaun kerugian kredit lebih tinggi terhadap pembiayaan pelanggan dan kemerosotan nilai pelaburan.

Selain itu, sektor Automotif mencatatkan keuntungan yang lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh diskaun dan insentif lebih tinggi bagi jualan penghabisan stok akhir tahun.

Sebahagian dari kesan ini bagaimanapun diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada sektor Hartanah, serta Aeroangkasa dan Pertahanan.

Berhubung prospek tahun kewangan 2025, DRB HICOM berkata, pihaknya menjangkakan prospek sederhana.

Jelasnya, kekuatan aktiviti ekonomi tahun ini akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan domestik yang kukuh, namun prospek global kekal tidak menentu berikutan peningkatan risiko, termasuk pengenaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat.

“Jumlah Volum Industri (TIV) bagi jualan automotif di Malaysia mencapai rekod tertinggi untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan 816,747 kenderaan baharu didaftarkan pada 2024, didorong oleh kemasukan jenama asing baharu khususnya dari China.

“Di samping itu, terdapat permintaan pengguna yang kukuh dan peningkatan daya tarik terhadap kenderaan elektrik, termasuk Proton e.MAS 7 yang dilancarkan baru-baru ini pada 16 Disember 2024.

“Memanfaatkan portfolio DRB-HICOM yang pelbagai, Kumpulan terus menunjukkan daya tahan sambil mengukuhkan keupayaan digital, khususnya dalam sektor Perbankan, Pos, dan Perkhidmatan.

“Sementara itu, peningkatan permintaan terhadap perjalanan antarabangsa membuka peluang pertumbuhan bagi perniagaan aeroangkasa Kumpulan, manakala pembangunan berterusan Automotive High-Tech Valley di Tanjong Malim, akan menjadi pemangkin bagi sektor Hartanah pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI