KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar mengesahkan pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.
Mohd. Na’im berkata, kes tersebut sudah selesai dan kedua-dua figura tersebut sudah mengaku bersalah atas kesalahan yang dilakukan.
“Pada peringkat awal, kedua-dua mereka tidak mengaku bersalah. Berdasarkan pengakuan itu, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan, itu adalah prosedur biasa di mana-mana mahkamah sama ada syariah atau sivil.
“Pada 21 Februari, kedua-dua mereka yang tertuduh telah memaklumkan hasrat untuk menarik balik pengakuan tidak bersalah dan ingin mengaku bersalah.
“Jadi, pengakuan bersalah itu telah direkodkan mahkamah. Tiada sebarang paksaan, semua jelas dan dilakukan secara sukarela. Penghakiman dillakukan berdasarkan pengakuan tersebut dan mereka berdua (Aliff dan Ruhainies) didapati bersalah,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran program Ramadan TV AlHijrah di sini, sebentar tadi.
Jelas Mohd. Na’im lagi, apa yang tertulis dalam kenyataan rasmi Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, perkara itu perlu dihormati.
Katanya lagi, sekiranya Ruhainies mahupun Aliff tidak akur dengan keputusan mahkamah, mereka boleh berdepan kemungkinan dipenjara tiga bulan.
“Setiap seorang daripada mereka (andai gagal menurut perintah) boleh dipenjara selama tiga bulan. Saya difahamkan mereka sudah membayar denda sebanyak RM3,000 dan kes selesai, tutup buku,” katanya lagi.
Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah Seksyen 27(a) dan 27(b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 kerana berkhalwat.
20 Jun 2024, Aliff dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat di sebuah kondominium mewah di ibu negara.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang selebriti berstatus suami orang dan pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Sumber dilaporkan berkata, tangkapan dibuat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hasil maklumat awam. Pasangan itu dicekup di kediaman pelakon wanita terbabit. – KOSMO! ONLINE