JAKARTA – Sepucuk notis pemberitahuan mengenai penutupan jalan selama seminggu di daerah Batang, wilayah Jawa Tengah mencetuskan kemarahan ramai apabila tindakan itu diambil bagi memberi laluan kepada sebuah majlis perkahwinan.
Laman berita Hai Jakarta kelmarin melaporkan, majlis tersebut berlangsung pada 24 Februari lalu, namun penutupan jalan bermula dari 19 hingga 25 Februari lepas.
Pendedahan surat tersebut mencetuskan kemarahan pengguna media sosial dengan ramai yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan membenarkan penutupan jalan dalam tempoh lama untuk tujuan peribadi.
“Yang bercinta dua orang sahaja, tetapi kecoh sekampung. Jalan mana yang boleh dilalui?” kata seorang netizen.
“Kalau bukan anak pegawai daerah, pasti orang dalamnya kuat,” kata pengguna media sosial lain.
Selepas hantaran itu tular, Ketua Mukim Bawang, Suratno menjelaskan bahawa notis tersebut dikeluarkan oleh salah sebuah kampung di bawah mukim itu.
Menurutnya, amalan penutupan jalan di daerah itu untuk menganjurkan majlis perkahwinan tidak mempunyai masalah meskipun dilakukan berhari-hari.
“Notis tular itu sudah dijelaskan, semuanya dalam keadaan baik. Kami sudah memeriksa, tiada seorang penduduk pun yang memprotes kerana tidak semua jalan ditutup,” katanya.
Tambah Suratno, jalan yang ditutup hanya melibatkan jalan kampung, manakala penutupan tidak diakukan secara menyeluruh.
“Hanya separuh jalan ditutup, kenderaan masih boleh melaluinya serta ada jalan alternatif yang lain,” katanya kepada laman berita Detik. – AGENSI