PETALING JAYA – Syarikat automotif terkemuka, Sime Motors memperkenalkan EV Next hari ini, iaitu pengedar kenderaan elektrik (EV) terpakai yang pertama di Malaysia.
Dengan matlamat untuk menjadi pembekal EV terkemuka di rantau ini, EV Next menawarkan pelbagai pilihan EV terpakai dengan nilai tukar beli yang menarik.
Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham berkata, permintaan terhadap EV kian meningkat di Malaysia, mencerminkan populariti peralihan ke arah pengangkutan yang lestari.
“Kami berbangga untuk memperkenalkan pengedar EV terpakai yang sulung di Malaysia bagi memenuhi keperluan gaya hidup yang pelbagai.
“Tekad kami untuk mendorong peralihan masa depan yang lebih hijau memastikan kami membekalkan produk dan penyelesaian terbaik kepada pelanggan di seluruh rantau,” katanya dalam kenyataan.
Portfolio EV Next menyediakan pelbagai pilihan jenama EV termasuk BYD, BMW, Mini, Hyundai, Jaguar, Porsche dan Volvo.
Sebagai sebuah pusat perkhidmatan yang menyeluruh, ia menawarkan pengalaman yang memudahkan pengguna, daripada pemilihan EV hingga perkhidmatan selepas jualan dan penyenggaraan komprehensif.
Pelanggan yang ingin menukar beli EV atau membeli EV terpakai, boleh mengunjungi bilik pameran EV Next di Glenmarie, Chan Sow Lin, dan TREC.
EV NEXT juga akan diperluas ke seluruh negara dengan lokasi baharu di Pulau Pinang, Tebrau dan Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE