WASHINGTON – Sebiji buah strawberi dijual pada harga AS$18.99 (RM84) di sebuah kedai di kota raya Los Angeles, lapor portal berita NBC News hari ini.
Strawberi jenis Elly Amai itu diimport dari Kyoto, Jepun dan dijual di rangkaian kedai runcit mewah, Erewhon.
Minggu ini, berpuluh-puluh netizen memuat naik video di platform TikTok dan Instagram, mengulas mengenai buah itu.
Ada yang mengagumi harganya yang mahal sambil mempersoalkan mengapa terdapat pembeli sanggup membayar harga tinggi hanya untuk sebiji buah strawberi.
Beberapa individu yang membeli buah itu menyifatkan ia lazat dan berbaloi walaupun harganya mahal.
Seorang pesohor media sosial, Alyssa Antoci, 22, berkongsi video dia membuka kotak strawberi dan makan buah mahal itu sambil duduk di luar kedai Erewhon.
“Wah, ini adalah strawberi terbaik,” katanya. – AGENSI