PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah hari ini.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, beliau berkesempatan menyembah maklum kepada Sultan Kedah mengenai pembangunan negara dan negeri itu, selain menyentuh soal kesejahteraan serta kebajikan rakyat.
“Usai sesi menghadap, saya menyertai Baginda Tuanku dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin, untuk santapan tengah hari.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku Sultan dan Sultanah serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam keadaan ‘afiyah dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE