ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar negara Islam menumpukan kepada kecemerlangan ilmu dalam usaha membangunkan kuasa ekonomi yang mampu mengangkat kemajuan negara masing-masing.
Anwar berkata, negara Islam ketika ini dianggap lemah kerana tidak menumpukan perhatian kepada pembangunan pendidikan dan inovasi teknologi selain sibuk menumpukan kepada perkara remeh.
“Dunia Islam kini tidak berdaya. Setiap hari ada pengeboman dan pembunuhan kanak-kanak, tidak ada perubahan besar. Kenapa? Kerana kita miskin. Kita tidak menumpukan kepada pendidikan dan teknologi, kita sibuk berbalah sesama sendiri.
“Sebab itu jika anda bertanyakan saya dalam kerajaan hari ini, saya akan berkata apa yang sepatutnya. Kita perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memberi fokus kepada ekonomi dan pendidikan berkualiti bagi mengembalikan keyakinan diri dan kekuatan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) bersama Perdana Menteri di kampusnya, di sini hari ini.
Katanya, institusi pendidikan memainkan peranan dalam memastikan usaha tersebut tercapai sekali gus melahirkan pemimpin masa depan yang berwawasan untuk merubah negara masing-masing.
“Niat kita mestilah cinta kepada keilmuan agar ilmu bukan sekadar maklumat yang kita kumpul. Bagi mereka yang biasa dengan sumbangan tokoh sastera seperti T. S. Eliot, beliau membezakan antara maklumat yang melimpah-ruah dengan ilmu.
“Anda ada ChatGPT, anda ada Google, anda boleh mendapatkan sebarang maklumat yang anda mahu tetapi itu hanyalah maklumat. Tidak semua maklumat adalah ilmu dan untuk membezakan yang baik dan buruk, memahami adab dan akhlak, serta nilai-nilai murni, kita perlukan kebijaksanaan. Maka ada tiga peringkat iaitu maklumat, ilmu, dan kebijaksanaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE