BERTINDAK sebagai penganjur, SAH Entertainment kini mengukuhkan kemaraan dalam industri muzik apabila menjalinkan kerjasama penganjuran tiga konsert mega membabitkan artis popular tanah air naungan Universal Music Malaysia, iaitu Ernie Zakri, Dolla dan Insomniacks.
Bukan sahaja memperlihatkan kehebatan muzik tempatan, siri konsert tersebut diharapkan mampu membawa pengaruh industri hiburan Malaysia ke peringkat yang lebih besar, termasuk ke Singapura.
Sebagai penganjur, sekali gus penerbit, Sufi Rashid berkata, ketiga-tiga konsert tersebut akan memberikan lebih banyak peluang kepada artis berbakat untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
“Kami berbesar hati dapat membawa nama-nama besar seperti Ernie Zakri, Dolla dan Insomniacks ke pasaran yang lebih luas. Kerjasama dengan Universal Music Malaysia juga menjadi pemangkin dalam usaha menaikkan martabat seni suara negara,” katanya.
Jadual konsert SAH Entertainment 2025 termasuklah Ernie Zakri Live in Singapore pada 31 Mei, Dolla Live in Singapore (Ogos) dan Insomniacks Live in Kuala Lumpur pada 12 Julai dan Singapura (November).
Dengan pemilihan venue ikonik seperti Capitol Theatre di Singapura dan Zepp Kuala Lumpur, SAH Entertainment memastikan setiap konsert menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan suasana lebih eksklusif serta teknologi audio dan visual yang canggih.
“Kami berharap usaha kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi memastikan lebih ramai artis berbakat berpeluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar,” tambah Sufi.
Sementara Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia pula berkata, kerjasama dengan SAH memberi tumpuan untuk mengembangkan bakat artis yang menjadi fokus utama tahun ini iaitu Ernie Zakri, Dolla dan Insomniacks.
“SAH Entertainment yang mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menganjurkan beberapa konsert baru-baru ini, termasuk konsert solo Ernie Zakri yang pertama di Kuala Lumpur, kami yakin gandingan kekuatan kreatif kedua-dua pihak dapat mencipta platform yang luar biasa untuk ketiga-tiga artis di rantau ini. Inisiatif ini bukan sahaja akan menyumbang kepada pembangunan industri kreatif yang berkembang maju di Asia Tenggara, tetapi juga memupuk pertumbuhan komuniti muzik di rantau ini yang semakin didorong oleh khalayak muda, sosial dan mudah alih,” ujar Kim Lim.
Bagi Ernie yang berjaya mengadakan Aura: Ernie Zakri Live in Concert pada 25 Januari yang juga dibawakan SAH Entertainment, fokus utama sekarang adalah penjualan tiket.
“Sejauh ini, persiapan untuk konsert di Singapura belum bermula kerana baru sahaja selesai dengan konsert dan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
“Sebab, seperti semua tahu konsert tempoh hari saya kurang sihat jadi doktor menyarankan untuk berehat.
“Jadi, saya perlukan rehat sedikit sebelum kembali pada konsert di Singapura pada Mei depan.
“Pastinya, saya teruja kerana konsert di Singapura ini akan menjadi sangat meriah sebab saya tahu orang di Singapura sangat memberikan sokongan hebat.
“Saya sentiasa rasa gembira dan teruja kalau dapat menyanyi di Singapura. Apatah lagi, ini menjadi konsert solo pertama saya di sana,” katanya.
Mewakili Dolla, Sabronzo pula berkata, mereka sangat teruja dengan penganjuran konsert berkenaan.
“Kami gembira bersyukur dapat mengadakan konsert solo di Singapura buat pertama kalinya. Ini adalah impian kami sejak sekian lama, dan kami tidak sabar untuk bertemu peminat Dolla yang telah menyokong kami dari awal.
“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik dan menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan. Jumpa anda semua pada 30 Ogos di Capitol Theatre!” ujar Angel dan Tabby.
Sementara itu, Insomniacks menyifatkan konsert yang bakal diadakan adalah sesuatu yang cukup bermakna buat mereka.
“Tahun 2025 adalah tahun yang sangat bermakna buat kami kerana akhirnya berpeluang mengadakan konsert besar di Kuala Lumpur dan Singapura.
“Ini adalah satu pencapaian besar bagi kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang telah menyokong kami selama ini.
“Kami tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik di Zepp KL pada 19 Julai dan seterusnya menggegarkan Capitol Theatre di Singapura pada 29 November. Jumpa anda semua di sana!” katanya.
Peminat boleh mengikuti laman media sosial rasmi SAH Entertainment bagi mendapatkan maklumat terkini serta pembelian tiket.