SEREMBAN – Kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan bagi tahun ini ditetapkan pada tiga kadar berbeza iaitu RM7.50, RM12 dan RM22 berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan kebanyakan penduduk Islam di negeri itu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Ab. Kadir berkata, kadar zakat fitrah bagi 1446H/2025 Masihi adalah RM7.50 bagi masyarakat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada jenis Super Special Tempatan SST 5 peratus.
“Kadar RM12 bagi masyarakat Islam yang menjadikan makanan hariannya daripada jenis beras Super Import, Super Wangi dan Herba Ponni, manakala RM22 bagi jenis beras Super Basmathi,” katanya di Menara Mains, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bagi memperkasakan sistem kutipan zakat fitrah di negeri ini, pihaknya buat pertama kalinya membangunkan Aplikasi Mobile MyAmil Fitrah.
Katanya, aplikasi itu juga bagi membantu para amil menguruskan kutipan zakat fitrah secara dalam talian tanpa memerlukan penggunaan kupon fizikal.-KOSMO! ONLINE