fbpx

EPL: 10 pemain Man. United berjaya menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAGUIRE meledak gol kemenangan United ketika berjaya membenam cabaran Ipswich pada aksi awal pagi semalam. - AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui sangat teruja melihat para pemainnya berjaya mengharungi ‘kesengsaraan’ selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Ipswich Town pada aksi di Old Trafford awal pagi semalam.

United dikejutkan dengan jaringan pasukan pelawat seawal minit keempat menerusi Jaden Philogene, namun United berjaya bangkit meledak dua gol menerusi gol sendiri Samy Morsy dan Matthijs De Ligt.

Bagaimanapun, United berdepan malang apabila Patrick Dorgu dilayangkan kad merah pada minit ke-43 yang menyaksikan Ipswich meledak gol penyamaan menerusi gol kedua Philogene, sebelum Harry Maguire muncul wira meledak gol kemenangan tuan rumah pada awal babak kedua.

“Hari ini, saya tidak rasa kecewa. Kami mengawal permainan dan sejak dari minit pertama saya dapat rasakan bahawa pemain memberikan sepenuhnya untuk aksi kali ini dan kami berjaya menjaringkan pada babak pertama.

“Apabila pemain kami dibuang padang, ia sedikit mengubah perlawanan. Tetapi, semangat yang diberikan oleh peminat sangat membantu dan kami layak untuk meraih tiga mata.

“Babak kedua kami berdepan cabaran, tetapi ia adalah perkara biasa apabila kami perlu berdepan kesukaran kerana beraksi dengan kekurangan pemain. Sangat sukar untuk kami di separuh masa kedua, saya terpaksa membiarkan pemain beraksi lebih bertahan,” katanya.

Dalam pada itu, Amorim mengakui tidak gembira dengan sikap ditunjukkan oleh pemainnya, Alejandro Garnacho yang terpaksa dikeluarkan untuk melakukan perubahan taktikal selepas Dorgu dibuang padang.

“Kami perlu mengubah taktikal menjadikan formasi 5-3-1 menyebabkan saya terpaksa membuat pertukaran. Saya akan bercakap dengan Garnacho mengenainya,” jelasnya selepas melihat pemain itu terus ke bilik persalinan dan tidak menyertai rakan sepasukan di bangku simpanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI