KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih belum membuat keputusan berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk Fadzil A Bakar.
Sebaliknya, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) yang diadakan hari ini hanya membincangkan beberapa perkara, namun tidak melibatkan isu Fadzil.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika diminta untuk berkongsi mengenai perkara-perkara dibincangkan dalam mesyuarat yang dihadiri semua Ahli Majlis KOM itu.
“Hanya mesyuarat biasa sahaja bagi membincangkan beberapa perkara. Apa yang paling penting adalah penaja tidak pandang salah dan masih melihat kita secara positif untuk terus ke hadapan.
“Sekarang kita perlu pastikan bahawa persiapan untuk ke Sukan SEA dibuat dengan baik. Saya ada sasaran (pingat), mungkin akan dimaklumkan pada mesyuarat 6 Mac nanti,” katanya ketika ditemui selepas EGM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini hari ini.
Terdahulu, Shahidan membuat penafian berhubung dakwaan Fadzil yang menuduh ada berlaku salah laku kewangan sehingga menggesa perubahan segera dilakukan dalam KOM.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark Ling menjelaskan mesyuarat hari ini berlangsung dalam keadaan baik dan tidak ada pertelagahan berlaku.
“Mesyuarat hari ini okey dan tidak ada sebarang pertengkaran kerana semua orang memahami. Ia (mesyuarat) dibuat bagi memuaskan hati semua pihak kerana sebelum ini ada yang tidak gembira,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE