KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 Studio TikTok Shop Live Hub lagi akan disediakan di pejabat-pejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di seluruh negara bagi membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian turut menyediakan ruang pemasaran dalam talian secara percuma iaitu Platform MyMall bagi produk atau perkhidmatan PMKS.
Menurut beliau, kedua-dua inisiatif tersebut antara usaha KUSKOP bagi mengurangkan kesan kos operasi perniagaan yang dihadapi usahawan PKMS berikutan kenaikan gaji minimum.
“KUSKOP mengambil perhatian akan kesan kenaikan gaji minimum kepada PMKS yang akan meningkatkan kos operasi perniagaan.
“KUSKOP menggalakkan usahawan PMKS memberi penekanan kepada aspek pendigitalan dan automasi dalam menjalankan operasi syarikat sebagai salah satu langkah mengurangkan kesan kenaikan tersebut,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai inisiatif kerajaan dalam mengurangkan beban kos operasi PMKS berikutan kenaikan gaji minimum.
Ewon berkata, inisiatif lain disediakan kepada usahawan PMKS bagi meningkatkan adaptasi digitalisasi adalah SME Technology Transformation Fund (STTF) oleh SME Bank.
Menurut beliau, STTF menyediakan pembiayaan kepada PMKS untuk mengadaptasi digitalisasi dan automasi operasi perniagaan menggunakan aplikasi IR4.0.
“Sepanjang tahun 2024, seramai 212 usahawan telah menerima pembiayaan STTF berjumlah RM278.09 juta,”katanya.
Selain itu, kata beliau, bermula tahun 2022 sehingga 2024, seramai 2,184 usahawan telah menerima pembiayaan Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) berjumlah RM17.58 juta. – KOSMO! ONLINE