KUALA LUMPUR – Inisiatif ‘AI at Work 2.0’ dengan kerjasama Google menjimatkan masa bekerja penjawat awam sebanyak 3.25 jam seminggu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ujian pilot juga menunjukkkan AI generative meningkatkan kualiti kerja penjawat awam.
Jelas beliau, inisiatif itu antara usaha Kementerian Digital memperkasa penjawat awam dalam bidang AI (kecerdasan buatan)
“Inisiatif ini memberikan akses kepada 445,000 penjawat awam dengan Google Workspace, termasuk Gemini dan NotebookLM. Usaha ini adalah susulan pencapaian `pilot project’ yang telah dijalankan ke atas 270 penjawat awam.
“Sebanyak 97 peratus peserta melaporkan penjimatan masa sebanyak 3.25 jam setiap individu seminggu, manakala 91 peratus menyatakan AI generative meningkatkan kualiti kerja mereka,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai strategi kerajaan mengimplementasikan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan agar usaha AI terarah dan dioptimumkan serta mengelakkan pertindihan di antara kementerian dan agensi kerajaan.
Mengulas lanjut, Gobind berkata, bagi memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam sektor awam, Jabatan Digital Negara (JDN) telah membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam.
Jelas beliau, garis panduan itu bertujuan menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh ketepatan pembuatan keputusan, mengoptimumkan pengurusan sumber dan keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE