fbpx

Pokok tumbang: Waris boleh failkan tuntutan kepada mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. Hamid ketika sidang akhbar di Dewan Mesyuarat MBDK hari ini. FOTO: AFIQ RAZALI

KLANG – Waris keluarga peniaga makanan yang maut dalam kejadian pokok tumbang baru-baru ini boleh memfailkan kepada mahkamah berhubung jumlah pampasan sekiranya tidak dipersetujui mereka.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, berdasarkan insurans dan polisi yang dibeli pihaknya tidak dinyatakan jumlah sebenar bagi pampasan tersebut.

Justeru, katanya, perkara itu dilihat dari segi bagaimana tuntutan dibuat waris dan pertimbangan dilakukan pihak insurans.

“Seandainya jumlah yang ditawarkan pihak insurans tidak dipersetujui pihak waris, maka mereka boleh memfailkan kes kepada mahkamah untuk membuat jumlah tuntutan dan diputuskan mahkamah.

“Kalau tiada berlaku apa-apa pertikaian dan pihak insurans boleh menawarkan jumlah yang munasabah dan dipersetujui pihak waris, perkara ini tidak akan berpanjanganlah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan MBDK kini sedang melakukan rundingan dengan syarikat insurans bagi memberikan pampasan kepada keluarga Allahyarham melalui insurans liabiliti awam yang dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Malah, Siti Norwani Mohamed, 41, yang merupakan isteri Allahyarham Aszehari Ansar belum membuat sebarang keputusan berhubung tindakan saman terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu pokok tumbang yang menghempap suaminya di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini, Isnin lalu.

Abd. Hamid memaklumkan pihaknya akan meminta pihak insurans terlibat mempercepatkan proses tuntutan berkaitan bagi kemudahan keluarga Allahyarham Aszehari, 46.

“Kita akan mempercepatkan sebab kalau di peringkat insurans biasanya mengambil masa tiga hingga enam bulan.

“Namun, kalau kes dibawa ke mahkamah (jumlah tuntutan tidak dipersetujui) ada bergantung kepada prosiding di mahkamah,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat doktor pakar tumbuhan berkayu atau arborist bagi melakukan siasatan dan pemeriksaan terhadap pokok-pokok yang didapati curiga boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna terutama di kawasan perumahan.

Ujarnya, ini kerana adalah sukar mengenalpasti memandangkan terdapat pokok yang secara mata kasarnya masih hidup dengan berdaun namun dalamannya (termasuk akar atau dahan) telah rosak atau reput.

“Sekiranya, pakar mengesyorkan pokok itu untuk ditebang, kita akan tebang. Namun, sekiranya pokok dalam keadaan baik dan bersaiz tinggi dan boleh datangkan bahaya, kita akan laksanakan kerja-kerja
pemangkasan.

“Pelantikan kontraktor pula akan dibuat dalam pertengahan Mac ini dan kerja-kerja penyelenggaraan pokok dijangka selesai dalam tempoh tiga atau empat bulan dengan peruntukkan RM6 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI