SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Jabatan Akauntan Negara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan rasuah berjumlah RM238,023 pada 2021 hingga tahun lalu.
Tertuduh, Abang Ismail Abang Puteh, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Bapa tiga anak itu didakwa menerima suapan berjumlah RM238,023 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat swasta berkaitan perkhidmatan teknologi.
Suapan itu sebagai dorongan kerana memberi maklumat tender Perkhidmatan Penyelenggaran Fasiliti Pusat Data dan membuat pengesahan kerja pada Borang Penyelesaian Kerja bagi perkhidmatan sama di jabatan itu.
Kesalahan dilakukan ketika tertuduh menjawat jawatan Penolong Pengarah Kanan dan Pegawai Teknologi Maklumat Pengurusan Teknologi Maklumat jabatan itu di tiga buah restoran di Bandar Puteri, Puchong antara 11 Januari 2021 dan 15 Mei 2024.
Justeru, dia didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Lapan lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Elyza Amira Habeeb Rahman mencadangkan jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap bulan.
Peguam Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zahida Khan merayu jaminan RM12,000 ekoran akaun anak guamnya dibekukan selain harta-harta lain turut disita.
Tambahnya, anak guamnya masih bekerja di jabatan itu, manakala isterinya pula kakitangan pentadbiran di sebuah universiti swasta.
“Sehingga hari ini, isterinya hanya mampu mengumpulkan RM12,000 dan tertuduh mempunyai anak berusia enam hingga 19 tahun yang masih belajar,” katanya..
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 April ini. – KOSMO! ONLINE