KUALA LUMPUR – Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi jajaran Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang akan mula beroperasi pada 30 September depan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, projek itu akan diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Bhd. oleh kontraktor utama pada 31 Julai ini.
Jelas MOT, kemajuan keseluruhan projek itu telah mencapai 98.16 peratus dan ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan dilakukan dalam dua peringkat.
“Dua ujian ini merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan ‘Trial Run’ (TR)
“Ia akan dijalankan serentak dengan ujian `Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama, Setia Utama LRT3 Sdn. Bhd.,” kata MOT menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Menurut MOT, anggaran tempoh pengujian adalah 75 hari dan keputusannya akan dinilai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem.
Kata MOT, ujian TR dan FFR dijangka bermula pada pertengahan April depan dan selesai pada akhir Jun sebelum ujian operasi (TO) dijalankan Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail)
Jelas MOT, Rapid Rail sebagai pengendali berlesen kereta api akan melakukan TO dengan bantuan teknikal kontraktor utama sebaik ujian TR dan FFR mendapat kelulusan APAD.
“Anggaran tempoh pengujian ini selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai depan dan selesai pada akhir Ogos,” kata MOT. – KOSMO! ONLINE