KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkenaan Tasik Titiwangsa di Dewan Rakyat hari ini mengundang ramai Ahli Parlimen tertawa.
Beliau ketika mengemukakan soalan tambahan berkenaan penambahbaikan Tasik Titiwangsa berkata, dulu Tasik Titiwangsa merupakan tempat `dating’ tanpa kos.
“Walaupun saya bukan pakar taman, tetapi saya cukup berpengalaman mengenai Tasik Titiwangsa hampir 50 tahun.
“Saya dilahir, dididik, dibesarkan di Jalan Raja Muda, maka itu tempatlah kita renang sebelum diwartakan sebagai taman tasik dalam tahun 60-an,70-an.
“Itu satu-satunya tempat untuk `dating’ tanpa kos untuk warga Kuala Lumpur, bukan ponteng (sekolah), tempat `dating’ untuk alam remaja tanpa kos,” katanya.
Terdahulu, beliau membangkitkan tentang langkah-langkah penambahbaikan bagi menambah pokok atau binaan bagi membendung dan mengatasi masalah cuaca panas dalam kawasan Tasik Titiwangsa.
Saravanan berkata, beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan tahu bahawa penambahbaikan perlu dilakukan bagi membantu warga kota mengatasi perubahan iklim dan cuaca panas.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan mengatasi kesesakan yang berlaku di laluan masuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara,
“Kesesakan lalu lintas amat teruk. Sila ambil tindakan sewajarnya. Mungkin satu hari nanti kita (Ahli Parlimen) boleh jadi mangsa sebab kesesakan dua laluan jadi satu betul-betul di hadapan pintu masuk IJN,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau mengambil baik saranan itu dan akan mengadakan libat urus dengan Kementerian Kesihatan (KKM)
“Kita boleh kerjasama dengan KKM untuk melihat (masalah) jalan masuk (ke IJN). Saya akan buat `engagement’ dengan KKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE