KUALA LUMPUR – Pelakon popular Fazura memaklumkan persiapan menjelang bulan Ramadan tahun ini hanya dilakukan secara bersederhana.
Menurut Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, aktivitinya sepanjang bulan Ramadan juga akan dilakukan seperti biasa dan selain lebih fokus pada urusan ibadah.
“Persediaan bulan puasa tiada apa sangat. Cuma lebih teruja untuk tarawih, Ramadan memang bulan beribadah.
“Sebenarnya tiada persiapan sangat dan semuanya seperti biasa sahaja.
“Kalau kerja, saya tak hadkan pun aktviti sepanjang Ramadan, semuanya jalan terus. Dulu ketika hamil sembilab bulan pun tetap jalan sahaja semua, sebab saya memang suka kerja,” katanya ketika ditemui pada acara fesyen MimpiKita di sini, semalam.
Ditanya mengenai sasaran aktiviti ibadah pada bulan Ramadan, Fazura lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi perkara tersebut kepada umum.
“Saya tak ada fokus apa-apa. Dari segi keagamaan, saya tak selesa sangat nak kongsi tentang ibadah sebab percaya perkara itu adalah urusan kita dengan Allah sahaja.
“Apa pun, semoga kita semua terus beribadah dan mendapat keredaan Allah,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, Fazura berkata perbezaan Ramadan kali ini mungkin lebih tertumpu kepada anak perempuannya, Fatima yang disifatkan memang ‘melekat’ bersamanya ke setiap acara dan lokasi.
“Tahun ini mungkin agak berbeza sebab Fatima mana-mana saya pergi dia akan ikut tidak kiralah kerja atau penggambaran.
“Dia tidak kisah walau sampai lewat malam sekali pun, memang akan ikut dan selagi saya ada bersama.
“Alhamdulillah sekarang dia selalu dengan saya, asalkan dia sihat dan boleh bertahan sampai malam, paling penting ada mummy,” kongsinya.
Fattah dan aktres, Nur Fazura Sharifuddin, berkahwin pada 27 November 2017, namun bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Hak penjagaan penuh Fatima pula menjadi milik Fazura sementara Fattah pula mendapat hak melawat dan bermalam. – KOSMO! ONLINE