RABAT – Pemerintah Maghribi, Raja Mohammed VI meminta rakyat tidak melakukan penyembelihan biri-biri semasa Hari Raya Aidiladha tahun ini, lapor portal berita Arab News semalam.
Permintaan dibuat kerana bilangan haiwan ternakan itu berkurangan susulan kemarau bertahun-tahun.
“Melaksanakannya (ibadah korban) dalam keadaan sukar ini akan menyebabkan kemudaratan ketara kepada sebahagian besar rakyat kita, terutamanya mereka yang mempunyai pendapatan terhad,” kata Raja Mohammed.
Hari Raya Aidiladha dijangka berlangsung Jun depan.
Umat Islam menyembelih haiwan ternakan seperti kambing biri-biri, manakala sebahagian dagingnya dikongsi sesama keluarga dan yang lain disedekahkan kepada fakir miskin.
Bilangan lembu dan biri-biri di Maghribi berkurangan 38 peratus pada 2025 akibat kemarau panjang berturut-turut, demikian menurut angka rasmi.
Hujan pula berkurangan 53 peratus tahun ini berbanding 30 tahun lalu, menyebabkan ketandusan padang ragut.
Pengeluaran daging juga menurun, menyebabkan harga barang makanan itu melonjak di pasaran tempatan. – AGENSI