LUMUT – Sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan 569 kilogram (kg) barang kawalan di Sitiawan di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada pukul 1 petang semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 tersebut berjaya dihasilkan setelah pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan di Sitiawan.
Beliau berkata, ia membawa kepada penemuan sebuah rumah yang disyaki dijadikan stor simpanan barang kawalan.
“Pemilik premis seorang lelaki tempatan berumur 40-an gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen barang kawalan.
“Sebanyak 432kg gula pasir kasar bertapis 1kg dan 137kg minyak masak peket 1kg yang ditemui rumah berkenaan telah disita. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM1,573.70,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diambil kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.-KOSMO! ONLINE