GEORGE TOWN – Seorang pegawai perubatan sebuah hospital di sini ditahan selepas dipercayai berkelakuan tidak senonoh ke atas pesakit wanita berusia 21 tahun ketika menjalani pemeriksaan jantung semalam.
Suspek dipercayai menyuruh mangsa membuka pakaian tanpa kehadiran jururawat wanita dan mangsa mengikut arahan suspek kerana menyangka ia prosedur operasi standard untuk pemeriksaan jantung selain mengunci bilik.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan berusia 43 tahun itu ditangkap di tempat kerjanya kira-kira pukul 9.30 malam.
“Lelaki itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 2 Mac ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya hari ini.-KOSMO! ONLINE