ANKARA – Seorang lelaki Turkiye yang kehilangan rumahnya akibat gempa bumi besar pada 2023 telah tinggal berseorangan di dalam sebuah gua kecil selama dua tahun, lapor portal berita Oddity Central semalam.
Ali Bozoglan, bapa kepada tiga anak dari wilayah selatan Hatay, kehilangan tempat tinggalnya akibat gempa bumi pada 6 Februari 2023 dan gegaran susulannya.
Walaupun tidak dapat meyakinkan keluarganya untuk menyertainya, Ali mendakwa dia berasa gembira dan aman tinggal di dalam gua tersebut.
“Saya telah tinggal di sini selama dua tahun selepas gempa bumi dan saya menemui kedamaian di dalam gua ini.
“Gua ini telah wujud selama beribu-ribu tahun dan tidak runtuh,” katanya.
Selepas mendengar tentang kehidupan lelaki itu, Jabatan Gabenor Daerah Defne menawarkan kepadanya rumah kontena yang selesa di suatu tempat yang lebih dekat dengan bandar.
Namun, Ali enggan menerima tawaran itu dan sebaliknya mula belajar menghargai kedamaian dan ketenangan ketika tinggal di dalam gua.
Pada 6 Februari 2023, Turkiye Selatan digegarkan oleh gempa bumi sekuat 7.8 magnitud yang meragut nyawa puluhan ribu orang. – AGENSI