fbpx

BDB entiti pertama Malaysia diiktiraf di bawah program Sijil Pemuliharaan Hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Shahreen (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Mohamed Shah Redza Hussein (tengah) selepas acara menandatangani dokumen perjanjian pemuliharaan yang turut disaksikan oleh Nik Nazmi (tiga kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang (tiga kiri).

PETALING JAYA – Bina Darulaman Berhad (BDB) menjadi entiti pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan dan terpilih untuk berdaftar di bawah program Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC).

Program berkenaan dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF) iaitu agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, BDB menerusi anak syarikat penuh miliknya, Darulaman Sanctuary Sdn. Bhd menjadikan Darulaman Sanctuary di Lubuk Semilang, Langkawi sebagai model untuk kegiatan pemuliharaan hutan.

Menurut beliau, pengiktirafan yang diterima itu turut mendapat perhatian ByteDance System Sdn. Bhd. iaitu syarikat dan jenama terkemuka dunia untuk menyumbang kepada usaha berkenaan.

“ByteDance System Sdn. Bhd. bersetuju menyumbang sebanyak RM176,380, manakala BDB Infra Sdn. Bhd. (BDB Infra) iaitu anak syarikat BDB pula berjumlah RM700,000.

“Kerjasama seperti ini diharapkan akan meningkatkan kredibiliti BDB, sekali gus mencapai sasaran sumbangan dana sebanyak RM10 juta pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemuliharaan di antara BDB, MFF, ByteDance System Sdn. Bhd. dan BDB Infra yang turut disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di ibu negara, semalam.

Raja Shahreen berkata, BDB telah merangka pelbagai inisiatif bagi menepati keperluan sejajar dengan tema ditetapkan iaitu ‘Nurturing Nature’s Wealth: A Gift for the Generations Ahead’.

Katanya, Darulaman Sanctuary akan memfokuskan lima komponen utama iaitu penglibatan komuniti setempat secara aktif serta memberi penekanan berkenaan perubahan iklim menerusi usaha pemuliharaan hutan, juga kepentingan pengurusan karbon dan ekosistem.

“Selain itu, promosi Pendidikan Eko-Pelancongan yang mendidik orang ramai meningkatkan kesedaran bagi meminimumkan kesan pelancongan kepada alam sekitar serta perlindungan terhadap spesies terancam dan memelihara biodoversiti.

“Akhir sekali, inisiatif ‘Duta Masa Hadapan’ bertujuan memperkasakan kanak-kanak sebagai duta alam semula jadi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI