DODOMA – Seorang lelaki di Tanzania mengundang perhatian orang ramai kerana memiliki 16 orang isteri, lebih 100 anak dan 144 cucu, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Mzee Ernesto Muinuchi Kapinga menyediakan setiap isterinya rumah di sebuah kawasan menyerupai perkampungan kecil. Ia dihuni oleh mereka sekeluarga.
Menurut Kapinga, dia mula mengamalkan poligami atas permintaan bapanya yang menyuruh dia membesarkan keluarga mereka.
Ketika kemuncaknya, lelaki tersebut pernah memiliki 20 isteri, namun ada antara mereka meninggal dunia dan berpisah dengannya.
Salah seorang isterinya berkata, mereka hidup dalam keadaan harmoni dan tiada perasaan cemburu sesama sendiri.
“Di sini, setiap orang mempunyai peranan masing-masing. Setiap isteri ada rumah sendiri, dapur sendiri, tiada persaingan.
“Semua orang tahu tempat mereka, kami bertani bersama-sama, makan dan bekerja bersama. Ini bukan sahaja rumah, malah ia adalah satu sistem komuniti dan ia berfungsi,” katanya.
Seisi keluarga Kapinga bergantung sepenuhnya kepada tanaman dan ternakan sebagai mata pencarian.
Mereka menanam jagung, kacang, ubi kayu dan pisang, dan menjual barangan lain. – AGENSI