PUTRAJAYA – Kerajaan menyumbang sebanyak RM35 juta bagi menyokong dua program wakaf iaitu myWakaf PTPTN dan Permodalan Wakaf Nasional Bhd (PWNB).
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025 di sini, hari ini.
Anwar berkata, sebanyak RM30 juta disumbangkan kepada myWakaf PTPTN, manakala RM5 juta diberikan kepada PWNB bagi menyokong ekosistem wakaf di negara ini.
“MyWakaf PTPTN adalah biasiswa wakaf pendidikan yang diuruskan bersama Yayasan Wakaf Malaysia dan PTPTN bagi tujuan membantu mahasiswa dari kalangan asnaf, M40 dan B40.
“PWNB pula adalah wakaf bagi modal awal pembentukan entiti (syarikat). Dana ini juga khusus bagi membantu pembangunan kewangan sosial Islam (waqaf, baitulmal, zakat),” katanya.-KOSMO! ONLINE