WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkongsi klip video janaan aplikasi kepintaran buatan (AI) menunjukkan keadaan di Semenanjung Gaza pada tahun 2025, lapor portal berita metro.co.uk semalam.
Video itu dikongsi di laman sosial miliknya, Truth Social bersama kapsyen ‘Gaza 2025, apa seterusnya?’.
Ia memaparkan penduduk Gaza berjalan melalui runtuhan bangunan sebelum beralih ke bandar lebih moden dan baharu.
Bangunan pencakar langit berhampiran pantai dan air laut biru serta pokok-pokok palma dipaparkan dalam video palsu itu. Ia juga menunjukkan penasihat kanannya, Elon Musk mengunyah snek di bawah sinar matahari.
Kedengaran lagu yang didendangkan dalam video iaitu: ‘Trump Gaza akhirnya di sini, masa depan emas, kehidupan baru.’
Trump dilihat berada di sebelah seorang wanita yang menari tarian gelek ketika Musk melemparkan wang dan anak-anak kecil melompat untuk menangkapnya.
Video itu diakhiri dengan paparan patung emas besar Trump di tengah-tengah bandar dan Trump serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sedang bersantai di bawah sinar matahari tanpa memakai baju.
Pada sidang akhbar bersama Netanyahu di White House baru-baru ini, Trump memperincikan rancangan untuk membina penempatan baharu bagi penduduk Palestin di luar Semenanjung Gaza dan membangunkan semula wilayah dilanda perang itu menjadi kawasan mewah digelar ‘Riviera Asia Barat’.
Namun, Trump berdepan kecaman selepas video itu dikongsi di media sosial termasuk Instagram.
“Saya harap ini satira. Saya harap ini adalah parodi. Saya harap kita boleh mengabaikannya.
“Anda tidak boleh mengabaikan perkara seperti ini. Ia adalah perkara paling gila yang pernah saya lihat,” kata seorang pengacara Britain, James O’Brien seperti dilaporkan portal berita Global News. – AGENSI