KOTA BHARU – Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) meneruskan langkah sumbang dalam saingan Liga Super apabila tewas 0-3 kepada Kuching City FC (Kuching City) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebentar tadi.
Kuching City membuka jaringan seawal minit kedua melalui tandukan mudah Jordan Mintah hasil kesilapan barisan pertahanan KDN FC yang mencetuskan situasi sedikit kelam kabut di hadapan gawang.
Tiga minit berselang, Mintah sekali lagi menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Muhammad Alfaiz Zula’amin untuk mencetak jaringan kedua Kuching City..
Tchetche Kipre memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang KDN FC dengan umpanan menarik yang membolehkan Mintah menjaringkan gol ketiga Kuching City pada minit ke-58 sekali gus melengkapkan jaringan hatriknya.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 0-3 dan Kuching City kekal di tangga kelima manakala KDN FC terus menghuni kedudukan tercorot Liga Super. – KOSMO! ONLINE