KUALA LUMPUR – Memartabatkan lagu klasik, komposer prolifik Datuk M. Nasir memilih karya yang diterbitkan sekitar 1903 berjudul Nuri Terbang Malam sebagai single pertama bagi album kompilasi 100 Lagu 100 Tahun.
M. Nasir berkata, usaha menghidupkan semula dendangan asal nyanyian penyanyi Qasim dari Pulau Pinang yang dipercayai lagu Melayu pertama pernah direkodkan di piring hitam itu disyorkan kepada pengarah projek tersebut, Mohd. Azhar Abu Bakar atau Azmeer.
“Saya yang sarankan untuk rakamkan semula Nuri Terbang Malam ketika Azmeer datang bagi cadangan ingin mendokumentasikan seleksi klasik dinyanyikan dalam versi kontemporari tanpa mengubah keaslian struktur asal.
“Beliau tidak tak tahu mengenai lagu itu jadi saya perkenalkan kepadanya Nuri Terbang Malam. Nyata Azmeer pun menyukai keunikannya.
“Lagu itu berusia 100 tahun dan sebagai simbolik kami gunakan judul 100 Tahun 100 Lagu. Kami nak dokumentasikan lagu, jadi kami sama-sama bersetuju merakam kembali lagu itu,” katanya selepas pelancaran 100 Lagu 100 Tahun, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar berkata, selain Nuri Terbang Malam, ada beberapa dendangan yang memiliki nilai tersendiri sekali gus memenuhi kriteria untuk dimuatkan ke dalam album.
“Kami lancarkan tidak mengikut kronologi tahun selain memuatkan 100 lagu ini dalam empat volume iaitu 25 lagu bagi setiap jilid dengan pelbagai genre.
“Penantian nyanyian asal kumpulan Harmoni menjadi single kedua dalam jilid pertama. Itu lagu pop yang membawa unsur puisi. Selepas itu, banyak lagu puisi muncul seperti Kopratasa,” kongsinya.
Usahasama antara Luncai Emas dan World Business Affairs Sdn. Bhd. bakal dilancarkan secara audio iaitu menerusi empat jilid album selain bentuk visual menerusi video muzik dan penerbitan buku meja kopi.
Projek yang memperkenalkan semula karya klasik kepada khalayak moden sebagai penghormatan terhadap sejarah seni muzik tanah air itu membariskan ramai penyanyi termasuk Datuk Jamal Abdillah, Liza Hanim, Sharifah Zarina, Kaka Azraff, Wany Hasrita, Bunga dan Lah Ahmad.
Antara dendangan yang berada dalam senarai lagu pilihan penerbit mulai tahun 1900 hingga 2000 seperti Ulek Mayang, Wajahmu Di Mana-Mana, Kenangan Lalu, Madah Berhelah, Getaran Jiwa serta Penantian. – KOSMO! ONLINE