KULAI – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya membongkar rahsia kegiatan sindiket menyimpan dan memproses bahan buangan atau sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang beroperasi secara haram di sebuah kilang di Kampung Baru Sengkang di sini, semalam.
Dalam operasi Ops Landai Bersepadu yang dijalankan pada pukul 8.15 pagi itu, pelbagai peralatan dan bahan buangan e-waste bernilai RM41,410,824 dirampas.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, operasi itu dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) hasil maklumat awam berhubung aktiviti haram itu sebelum risikan dijalankan.
“Antara rampasan yang dibuat ialah 348 guni berisi plate timah, 612 guni berisi bateri automatif potong, 33 kotak dan palet berisi bateri automotif, sembilan guni berisi sisa kompenan elektronik serta dua unit alat kawalan pencemaran habuk dan ketuhar pembakar.
“Selain itu, turut disita ialah 18 tan sisa e-waste, 1,290 tan bateri, 696 tan biji timah, 13,000 liter air bateri serta peralatan memproses dan melebur sisa buangan e-waste.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM41,410,824,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada JAS Negeri Johor untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, selain rampasan, polis turut menahan seorang lelaki tempatan bersama 14 warga asing termasuk seorang wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 49 tahun.
Warga asing yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki Indonesia, dua lelaki Myanmar serta masing-masing seorang lelaki China dan Bangladesh selain seorang wanita Indonesia.-KOSMO! ONLINEH